28.3.10

Syarat-syarat Khusuk solat dari gerak laku hati

Syarat-syarat kebatinan dari gerak laku hati

Ketahuilah bahawa dalil-dalil pada mensyaratkan khusyu' atau kehadiran hati dalam solat itu banyak sekali, di antaranya firman Allah Ta'ala:

�Dan dirikan solat itu untuk mengingatiku� (Taha: 14)

Nyatakan perintah untuk mendirikan solat itu merupakan perintah yang wajib. Kelalaian dan kelengahan dalam perkaranya adalah bertentangan dengan maksud mengingatkan Allah. Barangsiapa yang lalai atau lena dalam semua solatnya, tidak boleh dikatakan dia mendirikan solat kerana mengingati Allah.

Allah berfirman:

�Dan janganlah kamu termasuk golongan orang-orang yang lalai.� (al-A'raf: 205)

Ayat di atas memberikan maksud larangan, tetapi lahirnya menunjukkan pengharaman. Dalam ayat yang lain Allah berfirman:

�Sehingga kamu sekalian mengetahui apa-apa yang kamu ucapkan.� (an-Nisa': 43)

Ayat tersebut memberikan maksud larangan bagi orang-orang yang mabuk untuk memasuki solat. Ini boleh juga dikenakan ke atas orang-orang yang lalai, orang-orang yang berserabut fikirannya dengan waswas dan hal-ehwal keduniaan.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

�Hanyasanya solat itu adalah dengan bertenang diri dan merendahkan diri.�

Dimulakan dengan rangkaikata hanyasanya di sini, bermaksud bahawa solat yang dilakukan tanpa keterangan dan kerendahan diri bukanlah dinamakan solat yang dituntut oleh syara'.

Sabda Rasulullah s.a.w.:

�Barangsiapa bersolat, padahal solatnya itu tidak dapat mencegahnya dari perbuatan keji dan mungkar, maka orang itu tiada akan bertambah sesuatu dari Allah melainkan jauh daripadanya.�

Sebenarnya solat orang yang lalai itu tentu sekali tidak akan mencegahnya dari perbuatan keji dan mungkar.

Sabdanya lagi:

�Betapa banyaknya orang yang mendirikan solat, tetapi bahagaian yang didapatinya dari solat itu hanya penat-lelah semata-mata.�

Yang dimaksudkannya di sini tiada lain, melainkan orang yang lalai.

Sabdanya lagi:

�Tiada sesuatu yang diperolehi seseorang hamba dari solatnya, melainkan apa yang dibuatnya dengan akal yang penuh kesabaran.�

Yang sudah terang dan jelas dari semua ayat-ayat dan Hadis-hadis di atas, bahawa orang yang sedang dalam mengerjakan s embahyang itu, sedang bermunajat atau sedang berbicara dengan Tuhannya Azzawajalla, sebagaimana yang telah diriwayatkan dari Rasulullah s.a.w. Padahal kita semua telah mengetahui, bahawa orang yang berbicara sedangkan dia lalai dan tidak hadir hatinya, tidaklah boleh dinamakan munajat sama sekali.

Jika seseorang bersumpah dengan berkata: �Sungguh-sungguh aku akan berterima kasih kepada si Fulan, aku akan memujinya serta memohon daripadanya sesuatu hajat, lalu di dalam tidurnya dia bermimpi bahawa dia mengucapkan kata-kata itu (yakni apa yang dia bersumpah tadi), maka tiadalah terkira luput atau gugur dia dari sumpahnya itu.

Ataupun jika dia mengucapkan kata-kata itu di sebuah tempat yang gelap-gelita, sedangkan si Fulan yang harus ditunjukkan sumpahnya itu berada di situ, tetapi dia tiada mengatahui kehadiran si Fulan itu di situ dan tiada melihatnya ketika itu, maka hukumnya tiada juga gugur dia dari sumpahnya tadi, sebab semua ucapannya itu tidak ditunjukan kepada si Fulan yang dimaksudkan, kerana si Fulan itu tidak hadir dalam hatinya ketika kata-kata itu diucapkan.

Ataupun jika dia mengucapkan kata-kata itu di siang hari dan kali ini pula si Fulan yang harus ditunjukan sumpahnya itu ada di situ, dapat dilihat olehnya dengan terang, Tetapi malangnya, dia lalai dan lena, kerana ketika itu, barangkali dia sedang dalam keadaan susah atau banyak fikiran. Dia mengucapkan kata-kata itu, padahal hatinya di tempat lain, tidak ditunjuk ucapanya itu kepada si Fulan yang termaksud itu, maka hukumnya sama belaka, iaitu tiadalah dia gugur dari sumpahnya.

Sememangnya sudah tidak dapat disangsikan lagi, bahawa maksud daripada bacaan dan zikir di dalam solat itu, adalah untuk memanjatkan puji-pujian, kesyukuran, kerendahan diri serta doa kepada Allah s.w.t. Seolah-olah kita bercakap-cakap kepada Allah azawajalla yang berada di hadapan kita. Maka kiranya hati kita tertutup oleh tabir kelalaian, sudah tentulah Zat Allah s.w.t. akan terlindung dari hati kita, maka kita tidak akan dapat melihat atau menyaksikanNya. Malah hati kita itu akan menjadi lalai dari yang diajak bercakap-cakap itu, dan tinggallah mulutnya saja yang komat-kamit menurut kebiasaanya. Alangkah jauhnya orang ini dari pengertian solat yang sebenarnya yang disyaratkan untuk menggilapkan (membersihkan) hati dan membaharukan zikir Allah azzawajalla serta memperkukuh ikatan keimanan.

Pendekata kehadiran hati dalam solat merupakan jiwa dan roh kepada solat itu sendiri. Barangsiapa yang mengenal rahsia-rahsia solat, mengertilah dia bahawa kelalaian atau ketidak-hadiran hati di dalamnya menyalahi atau bertentangan dengan sifat solat yang betul.

Syarat-syarat keistimewaan solat

Syarat-syarat yang menjadikan sesuatu solat itu istimewa dari segi kebatinannya banyak sekali, tetapi bolehlah disimpulkan kepada enam perkara:

(1) Kehadiran hati dalam solat.

(2) Mengerti bacaan-bacaan solat.

(3) Membesarkan Allah dalam solat.

(4) Merasakan kehebatan Allah dalam solat.

(5) Penuh harapan.

(6) Perasaan malu.

Berikut kita sebutkan huraiannya secara terperinci, kemudian sebab-sebabnya, dan seterusnya mengusahkan cara untuk mencapai syarat-syarat tersebut:

(1) KEHADIRAN HATI DALAM SEMBAHYANG

Maksudnya ialah agar dapat kita mengosokan hati itu dari segala urusan yang boleh

mengganggu, ataupun yang tak ada sangkut-pautnya dengan ibadat solat yang sedang dikerjakan itu. Maka hendaklah pengetahuannya dengan gerak laku badan dan gerak-geri hati itu bersaingan kedua-duanya sekali; dan jangan sampai pemikirannya berputar kepada selain dari keduanya itu.

(2) MENGERTI BACAAN-BACAAN SEMBAHYANG

Memahami atau mengerti maksud-maksud perbicaraan dalam solat itu adalah menjadi seperkara yang utama dalam kontek menghadirkan hati dalam solat; iaitu hati itu haruslah mengatahui segala yang dibicarakan oleh lidah, kerana solat itu memang mengandungi banyak makna-makna atau maksud-maksud yang halus yang patut dimengertikan oleh seorang dalam solatnya. Dengan itu, barulah solat itu dapat mencegahnya dari melakukan perkara-perkara yang keji atau mungkar.

(3) MEMBESARKAN ALLAH DALAM SEMBAHYANG

Membesarkan Allah di dalam solat akan memberikan pengertian yang mendalam kepada diri orang yang bersolat itu, di sebalik menghadirkan hati dan memahamkan bacaan-bacaannya.

(4) MERASAKAN KEHEBATAN ALLAH DALAM SEMBAHYANG

Merasakan kehebatan Allah akan menambahkan lagi kebesaranNya yang dirasakan di dalam solat, dan ia diibaratkan sebagai ketakutan yang berpunca dari kemaha-agungnya Allah Ta'ala yang disembah ketika itu dan kemaha-tinggianNya.

(5) PENUH HARAPAN

Orang yang melakukan solat itu haruslah mengharapkan pahala yang banyak dari Allah s.w.t., dan sebaliknya harus pula ia merasa takut dari sikaanNya, yang mungkin ditimpakan oleh Allah ke atasnya disebabkan oleh kecuaiannya.

(6) PERASAAN MALU

Dia juga harus mempunyai perasaan malu terhadap Allah s.w.t., kerana kemungkinan sekali tanpa disadarinya telah berlaku daripadanya sesuatu kecuaian dalam solat itu, atau sesuatu dosa yang tidak disangka-sangkakannya.

Adapun sebab-sebab pencapaian maksud yang enam di atas tadi ialah:

Pertama: Hendaklah kita mengetahui bahawa yang boleh menyebabkan hati itu hadir ialah kekuatan azam, kerana hati itu sentiasa menurut keazaman kita: Hati tidak akan hadir, melainkan sesudah kita menujukan keazaman kita kepadanya. Jadi bila timbul sesuatu perkara yang menarik perhatian kita, tentulah hati kita akan hadir dan meletakkan perhatiannya kepada perkara itu, sama ada secara sukarela mahupun terpaksa, sebab hati itu diciptakan dalam fitrah yang semacam itu dan ia tetap tertakluk kepadanya.

Jika sekiranya hati itu tiada hadir dalam solat, tentulah ia tidak akan berdiam diri begitu saja, bahkan ia akan berkeliaran ke sana ke mari menunjukan perhatiannya kepada hal-ehwal keduniaan. Oleh itu, tiada jalan lain atau tiada penawar untuk menghadirkan hati itu, melainkan dengan menumpukan segala perhatian kita kepada solat semata-mata. Dan perhatian kita itu tidak akan dapat dihadapkan sepenuhnya kepada solat, selagi belum ternyata atau terbukti bahawa hati yang dituntut itu sepenuhnya bergantung kepada solat. Yang demikian itu dapat dicapai melalui keimanan dan keyakinan yang menetapkan, bahawa akhirat itu adalah lebih baik dan lebih kekal, dan bahawasanya solat pula adalah sebagai suatu wasilah atau jalan untuk mencapai kebahagiaan itu disana.

Kedua: Memahamkan bacaan, iaitu sebabnya sesudah menghadirkan hati, ialah menetapkan dan memusatkan akal fikiran untuk menangkap maksud dari segala pertuturan dalam solat. Penawarnya adalah seperti yang tersebut di atas tadi serta menumpukan fikiran dan menyediakannya untuk menolak segala yang mungkin mengacaunya, dan cara menolaknya ialah dengan menolak punca-puncanya; yakni pokok-pokok bagi sebab-sebab yang boleh mempengaruhi akal fikiran dan mengajaknya untuk berfikir-fikir.

Ketiga: Membesarkan atau memuliakan Allah dalam solat, dan yang demikian itu harus datangnya dari hati dengan dua cara:

(1) Mengenal kebesaran Allah azzawajalla dan keagunganNya dan ini adalah dari asal-usul keimanan.

(2) Mengenal kerendahan jiwa dan kehinaannya serta keadaannya sebagai seorang hamba yang tertakluk dan bertuhankan Allah yang Maha Agung.

Pengenalan terhadap kedua-dua cara ini haruslah berterusan sehingga timbul ketenangan, kerendahan hati dan seterusnya kekhusyu'an terhadap Allah s.w.t., maka ketika itulah baru kita kenal pengertian membesarkan Allah dengan penuh kesempurnaan.

Keempat: Adapun merasakan kehebatan atau ketakutan itu adalah keadaan yang harus disifati oleh jiwa yang akan timbul sesudah mengenal akan kekuasaan Allah dan kesanggupanNya, lalu melaksanakan kehendakanNya tampa campur tangan dari kuasa-kuasa yang lain, Jika sekiranya Allah memusnahkan yang awal (terdahulu) semua sekali dan yang akhir (terkebelakang) semua sekali, maka tiadalah akan berkurangan dari kerajaanNya sesuatu sebesar zarrah (atom) pun. Oleh sebab itulah apabila bertambah ilmu kita mengenai Allah, akan bertambah pulalah ketakutan dan kehebatan perasaan kita terhadapNya.

Kelima: Adapun pengharapan, maka sebabnya ialah pengenalan kita kepada belas kasihan Allah s.w.t. dan rahmatNya, serta segala kenikmatan dan kemaha-halusan penciptaanNya. Begitu pula dengan menyakinkan kebenaran janjiNya dengan balasan syurga bagi orang yang melakukan solat. Apabila telah muncul keyakinan dalam hati tentang segala janji-janji Allah, dan muncul sama pengenalan tentang belas kasihanNya, niscaya tidak syak lagi akan timbullah kesan dari kedua-duanya tadi hakikat pengharapan.

Keenam: Akhir sekali perasaan malu, dan dengan adanya sifat malu itu dalam diri, akan teringatlah kita akan kecuaian kita dalam menjalankan ibadat serta mengatahui, bahawa kita ini memang tidak mampu untuk mendirikan semua hak-hak Allah Azzawajalla. Perasaan serupa itu akan menolong kita untuk mengingat tentang keaiban-keaiban diri dan dan kecelaannya, ketidak-iklasan diri dan kecenderungannya kepada balasan-balasan yang kontan dalam segala amal perbuatannya, padahal kita mengatahui tentang kebesaran apa yang bakal ditentukan oleh Allah yang Maha Mulia (yakni dari balasan terkemudian). Dan hendaklah kita menyakini, bahawa Allah Azzawajalla itu mengetahui dan menyingkap segala rahsia dan gerak-geri hati meskipun ia terlalu kecil atau masih samar-samar.

Semua makrifat-makrifat ini bila ditemui dengan keyakinan akan terpancarlah daripadanya, tidak syak lagi, suatu keadaan atau perasaan yang dinamakan perasaan malu terhadap Allah Azzawajalla.

Sekianlah sebab-sebab bagi semua sifat-sifat yang disebutkan di atas tadi. Setiap yang hendak dicari huraiannya, terlebih dulu hendaklah diterangkan sebab-sebabnya, kerana setelah mengenal sebab-musababnya dapatlah pula mengenal ubat dan penawarnya. Manakala ikataan bagi semua sebab-sebab ini ialah keimanan kepada Allah Azzawajalla dan keyakinan terhadapNya.

Penawar berguna untuk menghadirkan hati

Ketahuilah, bahawa setiap orang Mu'min itu wajib memuliakan Allah azzawajalla, takut hanya kepadaNya, berharap hanya daripadaNya, dan sentiasa pula merasa malu terhadap segala kelalaian yang timbul tersebab dari perilakunya terhadap Allah s.w.t. Semua perkara-perkara yang tersebut ini haruslah tidak terlepas dari ingatannya, sesudah ada penuh keyakinan terhadap Allah s.w.t., sekalipun kekuatan ingatan itu setanding dengan kadar kekuatan keyakinannya. Sebab terhindarnya sesuatu solat dari ingatan kepada perkara-perkara tersebut, tiada lain melainkan disebabkan oleh fikiran yang bercabang-cabang, terganggunya hati dan ketidak hadirannya dalam bermunajat, berarti kelalaian dalam solat. Dan tiada yang menjauhkan kita dari solat yang sempurna, melainkan kerana terlalu banyak fikiran yang datang menggangu dan mengacau. Penawar dalam menghadirkan hati ialah menolak semua fikiran-fikiran tersebut, dan sesuatu perkara itu tidak akan tertolak melainkan dengan menolak sebabnya, maka hendaklah anda mencari sebabnya dan mengetahui.

Adapun sebab-sebab kemunculannya fikiran-fikiran yang tidak menentu dalam sesuatu solat itu, ialah sama ada merupakan perkara dari luar ataupun perkara dari dalam. Perkara-perkara dari luar; iaitu seperti sesuatu yang didengar oleh telinga, ataupun dilihat oleh mata. Hal serupa ini boleh menarik perhatian kita kepadanya, lalu perasaan kita pun tertumpu kepadanya dan terpengaruh dengannya. Dari situ kita boleh dibawanya dari suatu fikiran kepada fikiran yang lain, sampai bercabang-cabang pula fikiran kita. Pada ketika itu semua yang kita lihat di hadapan kita akan menjadi sebab pemikiran.

Orang yang kukuh niatnya dan kuat keazamannya tidak akan dilalaikan oleh segala sesuatu yang bermain pada pancainderanya. Akan tetapi si lemah tentu sekali pancainderanya akan membawanya menggembara kepada berbagai-bagai pemikiran ketika itu.

Penawar kepada penyakit ini ialah dengan memutuskan pemikirannya dari segala sebab-sebab ini; iaitu dengan menutup matanya terlebih dulu, kemudian bersungguh-sungguh mencuba meletakkan ke belakang semua yang mungkin mengganggu pancainderanya. Seterusnya, dia mencari tempat yang berdekatan dengan tembok, supaya dalam solat nanti ruangan di hadapanya tidak terlalu lapang untuk dilihat oleh matanya. Dan hendaklah dia menjauhkan diri dari menunaikan solat di jalan-jalan raya, yakni di tempat-tempat lalulintas orang ramai, ataupun di tempat-tempat yang berlukisan, atau tikar-tikar yang penuh dengan gambar-gambar dan warna-warni, kerana kesemuanya itu boleh menyebabkan kelalaian dalam solat.

Adapun sebab-sebab kebatinan pula, maka yang demikian itu adalah lebih hebat lagi. Orang yang bercabang-cabang perhatiannaya dalam persoalan-persoalan keduniaan tentu sekali pemikirannya tidak tetap setempat, ataupun menumpu kepada sesuatu perkara yang tertentu, malah ia akan mengembara dari satu tempat ke tempat yang lain. Cara untuk mengekang pemikiran-pemikiran ini dari berlaku, ialah dengan memaksa diri untuk memahami, atau mengikuti makna-makna bacaan yang dibacanya di dalam sembanyang dan melarang diri dari mengingati perkara-perkara yang lain dari itu. Untuk membantu melaksanakan cara ini, seseorang yang ingin bersolat hendaklah bersiap sedia sebelum bertakbir, lalu memperbaharui ingatannya tentang hari akhirat dan tempat bermunajat itu serta bahayanya keadaan ketika itu. Sebab ia sedang berhadapan muka dengan Allah s.w.t. Dan Allah dapat menyingkap segala rahsianya pada masa itu. Sebelum mengangkat takbir, hendaklah ia menumpukan segala perhatian dan hatinya kepada solat saja, dan jangan sampai ditinggalkan suatu tempat pun dalam hatinya itu untuk dipengaruhi oleh perkara-perkara selainnya.

Apabila gelombang pemikirannya masih belum lagi dapat disembuhkan oleh ubat yang seharusnya boleh mentenangkannya, maka hendaklah ia mendapatkan ubat pembersih yang boleh melenyapkn pangkal penyakit yang bersarang di dalam dasar urat sarafnya. Haruslah ia segera memperhatikan apa-apakah yang memalingkan dirinya dari kehadiran hati tadi. Tidak syak lagi, sesudah itu, akal fikiran itu akan kembali kepada tugasnya, dan ketahuilah ia bahawa pemesongan yang berlaku tadi tiada lain, melainkan disebabkan oleh gejala-gejala syahwat. Maka ia pun segeralah mengutuk dirinya dengan mencabut segala syahwat-syahwat itu dari dalam dirinya serta memutuskan semua perhubungan diri dengan syahwat-syahwat itu.

Ada sebuah riwayat yang diceritakan dari Rasulullah s.a.w. bahawa baginda pernah memakai baju bersulam yang diberikan kepadanya oleh Abu Juhum, lalu baginda bersolat, sebaik-baik selesai saja bersolat, segeralah baginda menanggalkannya pula seraya bersabda: Kembalikanlah baju ini kepada Abu Juhum sebab ia melenakan saya dalam solat tadi, dan tukarkanlah dia dengan baju biasanya saja (yakni yang tiada bersulam).

Tiada ulasan: